Followers

Sunday, December 20, 2015

Maulidul Rasul 2015 KEPERIBADIAN TERPUJI PERJUANGAN DIHAYATI






















Maulidur Rasul ni akan disambut setiap 12 Rabiulawal setiap tahun mengikut takwim Islam. Dan pada tahun ni, 12 Rabiulawal 1436H jatuh pada 12 Disember 2016.


Maulidur Rasul ni sebenarnya tidak disambut waktu zaman-zaman Islam dahulu tatapi kita yang sambut sebagai satu usaha untuk mendidik diri agar mengingati Nabi Muhammad. Kelahiran Nabi Muhammad merupakan satu rahmat kepada seluruh alam. Ini dah pun dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam salah satu surah Al-Quran:-

"Dan tidaklah kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam".
Surah Al Anbiya' (Ayat 107)


Maulidur Rasul
Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dalam laman khas beliau mengatakan:

“Ada beberapa kalangan orang Islam yang menganggap apa sahaja keraian dan peringatan yang berkaitan dengan apa-apa program hari kebesaran Islam seperti hijrah Nabi, maulid, isra’ mi’raj dan lain-lain sebagai bid’ah.”

Ini tidaklah benar secara mutlak. Apa yang kita tolak ialah sambutan keraian yang disertakan dengan acara-acara yang batil, haram dan maksiat. Sekiranya ia tidak mengandungi acara-acara ‘lagha’ (tidak berfaedah atau sia-sia) tetapi sebaliknya mengandungi acara yang berfaedah maka tentulah ia sesuatu yang harus. Sebenarnya agama Islam bukan hanya mengandungi acara keraian tapi jauh lagi, mencakupi berbagai kegiatan dan lapangan hidup.

Sejak tahun 969 Masihi, hari keputeraan Muhammad s.a.w. diperingati secara meriah oleh kerajaan Fatimiyah di Mesir. Ia dilakukan dengan pembacaan khutbah yang memperingati kemuliaan Rasulullah s.a.w. Pada akhir acara atau majlis, mereka mengadakan majlis  makan serta membahagikannya kepada fakir miskin.

Demikian juga perayaan Maulid di Negara-negara Islam lain tidak kurang hebatnya. Di Syiria, Mesir, Turki, Afrika Utara, China, Iran, Maghribi dan lain-lain, kita akan dapati bahawa perayaan maulid ini disambut dengan meriah dan diisi dengan khutbah dan pembacaan syair-syair tentang kemuliaan Rasulullah s.a.w. Sebahagian pula ada yang membaca syair mistik. Dan ada sesetengahnya pula berpakaian  cantik untuk mendengar bacaan al-Quran dan ceramah daripada para ulama mengenai kisah Nabi Muhammad s.a.w. Di Iran contohnya, perayaan Maulid disambut secara besar-besaran di mana masyarakatnya menghiasi seluruh kota mereka dengan lampu yang berwarna-warni serta mengagihkan makanan kepada orang ramai.

Sebenarnya perayaan Maulid Nabi s.a.w. adalah perkara yang amat penting untuk dianjurkan sebagai wadah (platform) untuk melahirkan kecintaan kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Mengapa kita wajib mencintai Rasulullah s.a.w ? Ini kerana Baginda sememangnya wajar untuk dicinta. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud:
   
“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang-orang yang salih. Dan mereka itu teman yang sebaik-baiknya.” (An-Nisa’: 69)

Baginda s.a.w. sememangnya manusia seperti kita juga dari sudut struktur, fungsi fizikal dan nalurinya. Tetapi sifat kemanusiaan Rasulullah s.a.w. ini mencapai kesempurnaan, apatah lagi Baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t. Justeru, Allah s.w.t. berpesan menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama  kamu…” (An-Nur: 63)

Allah s.w.t sendiri memanggil manusia mulia ini dengan gelaran terhormat seperti “Wahai nabi” atau ” Wahai Rasul”. Oleh itu, mencintai Rasulullah s.a.w. menjadi suatu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seseorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabinya, seberapa kecil sekalipun. Idealnya, ia mencintainya lebih daripada segala sesuatu yang ia miliki, bahkan dirinya sekalipun. Dan itulah pada hakikatnya iman yang paling sempurna. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Tidak beriman seseorang sehingga aku (Nabi) lebih ia cintai daripada dirinya sendiri.”

Oleh itu, bersempena sambutan Maulidur Rasul  1436H ini, marilah kita tingkatkan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. dengan memperbanyakkan selawat dan puji-pujian terhadap Baginda s.a.w. sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam, yang menyinari dunia dengan sinar hidayah dan membawa manusia ke jalan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Semoga segala selawat dan kecintaan kita terhadap Baginda s.a.w. mendapat ganjaran yang setimpal kelak.

No comments:

Post a Comment